Keusahawanan Internet
by Irfan Khairi
Pepatah mengatakan "Angin yang sama meniup kita, ianya bergantung kepada kita untuk melayarinya". Setiap insan mempunyai jumlah waktu yang sama dalam sehari, iaitu 24 jam. Apa yang menentukan kejayaan seseorang itu adalah kecekapannya dalam mengurus 24jam seharinya.
Tabiat membuang masa, atau sering dikenali sebagai "procrastination" adalah tabiat yang merugikan kita. Sering kali, kita menunda-nundakan sesuatu kerja, sehingga produktiviti kita untuk mencapai kejayaan menurun.
Berikut adalah 4 cara bagaimana anda boleh membuang tabiat buang masa ini:
"Matlamat dikecilkan"
Seringkali kita membuang masa oleh kerana melihat sesuatu kerja itu terlalu besar untuk ditangani. Adakalanya matlamat yang terlalu besar menyebabkan kita kurang berkeyakinan dan kurang bermotivasi untuk mencapainya. Dilihat seperti kerja yang bakal dilalui amat besar dan tidak kesampaian!
Apa yang anda harus lakukan adalah, pecahkan matlamat yang besar itu kepada matlamat yang lebih kecil. Matlamat untuk mengumpul 10 ribu ringgit mungkin bunyinya besar, tetapi sekiranya dipecah kepada unit yang lebih kecil, iaitu menyimpan RM500 setiap bulan, matlamat akan tercapai juga dalam masa 20 bulan
"Tingkatkan kekuatan tenaga"
Sering kali kerja ditunda atau kerja tidak dapat disiapkan adalah kerana badan kita terasa penat. Mata kita terasa mengantuk dan tubuh kita tidak rasa selesa untuk meneruskan sebarang kerja.
Sebab ini adalah, tidak kira sekeras mana anda kerja, tidak kira berapa jam anda melakukan tugas anda, sekiranya badan anda tidak mampu menahan bebanan tersebut, produktiviti anda akan berkurangan.
Ambil masa untuk berehat. Tubuh manusia boleh bertahan pada tahap produktiviti yang tinggi dalam lingkungan 8-9 jam sahaja. Itu pun sekiranya mempunyai tubuh yang sihat. Adakalanya, dengan hanya melelapkan mata atau menambahkan masa tidur anda di malam hari, ia akan menyegarkan semula tubuh anda untuk menjadi lebih produktif
pada keesokan harinya. Sekiranya anda sering tidur 5-6 jam sahaja oleh kerana kerja yang banyak, saya cadangkan anda tambahkan masa tidur anda untuk menyegarkan tubuh anda.
Lakukan aktiviti senaman dari masa ke semasa, kata pakar kesihatan tidak semestinya anda bersenam setiap hari, walaupun bersenam setiap hari adalah terbaik. Tetapi, beri masa untuk bersenam selang beberapa hari untuk menguatkan lagi tubuh anda dan daya ketahanan badan anda dengan tekanan kerja.
Jaga makan dan minum anda. Kita di Malaysia adalah dalam keadaan disadvantage oleh kerana makanan kita agak berat jika dibandingkan dengan makanan barat. Tetapi, perhatikan daya ketahanan mereka di barat gaya sihat. Tubuh mereka lebih kuat walaupun umur meningkat.
Makan seperti ahli sukan dan bersenam selalu. Tubuh anda akan rasa sihat, badan anda akan rasa segar- ia akan menambahkan produktiviti kerja anda. Tiada lagi rasa malas dalam memulakan sesuatu kerja! Rujuk majalah Maskulin anda untuk tips-tips kesihatan yang sememangnya akan menjadikan insan yang lebih produktif!
"Suara positif"
Bagaimana tindakan kita bergantung kepada suara yang sering kita masukkan di dalam minda kita. Buang segala suara-suara negatif seperti saya akan gagal. Saya tidak dapat melakukan kerja ini. Orang lain tidak akan suka dengan hasil kerja saya. Gantikannya dengan suara suara positif- saya akan berjaya, saya akan menyiapkan
kerja ini dengan sempurna dan orang akan memuji hasil kerja saya.
Jadi seorang yang optimis dan berfikiran positif, ini akan memudahkan segala kerja yang anda lakukan. Walaupun mungkin keadaan sekeliling menyebabkan perasaan anda lemah dan tidak bermaya, masukkan gambaran-gambaran positif di minda anda.
Terdapat satu istilah ini mengatakan bahawa kita gembira oleh kerana kita menyanyi. Dan bukan sebaliknya kita menanyi kerana kita gembira!
Mereka yang optimis akan...
- Sering melihat segala kebaikan di keliling anda dalam apa keadaan sekali pun
- Pelajari daripada apa sahaja kesusahan yang dilalui dan terima dengan hati terbuka
- Sering mencari penyelesaian daripada masalah, dan bukannya memperbesarkan suatu masalah.
Orang yang berjaya sering mencerita tentang matlamat mereka. Mereka sering bercerita tentang masa depan dan bukan mengungkit masa silam. Lebih positif diri kita, lebih bersemangat dan lebih produktif kerja yang dilakukan oleh kerana kita akan menjadi
seperti apa yang kita fikirkan selalu. Fikirkan boleh!
"Prinsip 80-20"
Bagaimana kalau saya katakan anda boleh menjimatkan 2 jam dalam setiap hari anda. Sudah tentu, bunyinya agak menarik!
Prinsip Pareto ini mengatakan bahawa 20% daripada masa yang di ambil untuk menyiapkan sesuatu tugasan adalah untuk 80% hasil daripada tugas tersebut. Dalam erti kata lain, produktiviti anda akan menurun selepas 20% masa anda diambil!
Oleh itu, bagaimana caranya menggunakan prinsip ini untuk manfaat anda?
Mudah sahaja. Apabila anda ingin melakukan sesuatu tugas, bentangkan tugasan tersebut di hadapan anda dan fikirkan strategi bagaimana anda perlu menangani tugas tersebut. Apabila anda sudah bersiap sedia dengan apa yang anda perlukan, terus mulakan tugasan tersebut. Jangan berhenti, dan teruskan sahaja sehingga anda data
menyiapkan apa yang anda termampu. Mungkin ianya mengambil 1 jam... atau 2 jam. Apa sahaja yang anda mampu lakukan, lakukannya.
Kemudian, berhenti! Ya... berhenti dari melakukan tugasan tersebut. Ini kerana, anda telah mengambil 20% daripada masa anda yang benar-benar produktif dalam menyiapkan kerja tersebut. Namun, kerja tersebut sudah 80% siap!
Apa yang anda perlu laku kini adalah, alihkan perhatian anda kepada kerja atau tugas yang lain. Mulakan tugas baru dan tidak perlu hiraukan tugasan tadi. Untuk tugasan baru juga, lakukan yang sama iaitu, beri tumpuan yang khusus 20% daripada masa yang perlu diambil, kemudian berhenti. Lakukan perkara yang sama pada tugasan yang lain.
Dengan melakukan prinsip pareto ini, anda dapat menyiapkan 80% daripada kerja di tangan dalam 20% masa anda sahaja. Selepas kesemua 80% tugas anda selesai, anda boleh kembali kepada tugasan asal untuk menyiapkan 20% sehingga selesai. Kini, keadaan anda sudah segar daripada tugasan asal, dan produktiviti meningkat semula.
Dengan menggunakan strategi Pareto ini, anda pasti teruja dengan kecekapan anda menangani masa menyiapkan beberapa kerja serentak!
Keusahawanan Internet
No comments:
Post a Comment